Ayam dalam bekas berdarah

Anggota MPS menjalankan pemeriksaan.

Alatan penyembelihan ayam.

Ayam yang siap diproses hanya diletakkan di atas lantai.

SELAYANG - Disebabkan status prosedur pengurusan dan penyembelihan ayam yang meragukan, empat premis di Pasar Borong Selayang diserbu Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Agama Islam daerah (Paid) Gombak dan imigresen awal pagi kelmarin.

Serbuan itu mendapati, ayam yang telah diproses direndam dalam bekas air mengandungi darah.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Paid Gombak, Afida Zainudin berkata, pihaknya tidak dapat memastikan status penyembelihan disebabkan ayam tersebut telah siap diproses semasa serbuan dilakukan.

“Kawasan penyembelihan dan pemprosesan didapati berada dalam keadaan kotor dan pastinya tidak mematuhi hukum syarak ditambah pula keadaan ayam yang direndam dengan air mengandungi darah.

“Kita merampas dua kad tauliah penyembelihan ayam selepas didapati gagal menjalankan prosedur penyembelihan mengikut teknik pengurusan yang betul sehingga statusnya diragui,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Katanya, tindakan kepada pemegang kad tauliah yang dirampas ini bergantung kepada budi bicara sama ada menggantungnya atau denda.

Sementara itu, Ketua Operasi Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPS, Azmi Ismail berkata, sebanyak empat sitaan lesen dan sepuluh kompaun dikeluarkan mengikut kesalahan melibatkan lima premis yang diperiksa kelmarin.

Katanya, kebanyakan premis melakukan kesalahan berulang apabila melanggar syarat nyata lesen apabila melakukan kerja penyembelihan sedangkan permohonan perniagaan melibatkan pengurusan pemprosesan ayam sahaja.

“Kesalahan major adalah meletakkan barang mentah atas lantai di bawah Seksyen 27 (2) Akta Establismen Makanan (MPS) 2007 dan Seksyen 19 (1) D undang-undang kecil kerana membuang sisa terus ke dalam longkang.

“Tiada sitaan barangan dilakukan hari ini (kelmarin) tetapi lesen tersebut akan disimpan sehingga satu keputusan dibuat oleh Jabatan Perlesenan MPS selepas semakan premis dilakukan,” katanya.

Dalam masa sama, seramai lima warga asing terdiri seorang warga Indonesia, Bangladesh (dua) dan Myanmar (dua) turut ditahan selepas didapati menyalahgunakan permit pekerjaan dan tinggal melebihi had.

Posting Komentar